Thursday, 21 November 2019

Aurat (Buat Akhwat)

Wanita itu sungguh istimewa. Satu ketika, semasa berada di Pesantren, ustaz pernah bertanya kepada kami. Mengapa Allah sangat menjaga wanita. Kami terkebil-kebil di hadapan ustaz. Masing-masing kelihatan tunduk memikirkan jawapan. Ustaz memerhati seorang demi seorang anak muridnya lalu menyambung kata-katanya.
"Wahai adik-adik ustaz. Di dalam tubuhmu ada sekeping daging. Dinamakan daging itu dengan satu dari sifat Allah s.w.t yang paling indah iaitu Rahim. Allah s.w.t ciptakan wanita bersama Rahim didalamnya. Bahkan penciptaan wanita itu juga penuh dengan Rahim Allah. Melalui Rahim itu akan lahirnya seorang manusia dan hamba Allah s.w.t. Bahkan, dengan Rahim yang Allah pinjamkan buat wanita juga dia membesarkan anak-anakmu kelak."
" Lalu bagaimana cara Allah s.w.t menjaga dan memelihara mereka? Iaitu dengan meletakkan syariat keatas mereka. Agar mereka menjaga Aurat mereka dari dilihat yang bukan mahram. Memelihara pandangan mereka dari melihat yang tidak baik. Jadi, jagalah auratmu sebaik mungkin. Tutupi lenganmu dari dilihat. Pakai stokingmu agar kamu terpelihara."
Beberapa orang pelajar mengangguk tanda faham. Sebahagian lagi memandang kosong. Mungkin juga sedang berfikir. Apa yang pasti, pesanan itu terus menerobos hati yang paling dalam. Sehingga ke hari ini, aku masih ingat pesan yang padaku sangat mahal.
Sungguh besar kecintaan Allah buat wanita. Wanita itu sekalipun hanya berpakaian polos sudah memadai untuk menarik perhatian lelaki yang ada penyakit dihatinya. Jangan biarkan mahkotamu diintai oleh mata-mata rakus yang mencari peluang untuk menggugat kesuciannya.

Monday, 4 November 2019

Kalam Si Gadis Desa: Doa



Pernah tak kita terfikir satu ketika kita sendiri. Tiada siapa yang mendampingi, Tiada siapa yang dapat membantu. Kita pula sedang berada darurat yang memerlukan kita untuk membayar sejumlah wang dalam kadar segera. Mungkin juga kita mengalami satu situasi yang berbahaya dan kita terselamat daripadanya. 

Lalu apa yang kalian lakukan.

Tersadai di kota Metropolitan

Ada satu ketika, saya pergi ke Kuala Lumpur berbekalkan wang sebanyak tujuh puluh satu ringgit Malaysia. Pada waktu itu saya mewakili Universiti untuk satu seminar pencegahan terorism. Saya telah menyewa sebuah hostel dan jumlah keseluruhan yang perlu saya bayar adalah tujuh puluh satu ringgit itu. Saya kata pada diri 'Tak apa. Allah ada.' Jika bab ilmu, saya mungkin orangnya tidak berkira sama sekali. Apa-apa sahaja seminar, program jika saya dapat hadiri saya pasti akan pergi walaupun wang saya kadang tidak mencukupi. Disitu, saya tinggal bersama seorang backpacker warga negara Britan dan seorang lagi wanita India berusia 40-an.( Ada kisah menarik tentang mereka. Nanti saya ceritakan.)

Pada keesokkan harinya, saya keluar awal daripada hostel. Kononya ingin mencari ATM. Wang di dalam bank pada ketika itu, cuma ada tiga puluh kalau tak silap. (Sebabnya, untuk pergi ke tempat seminar, saya perlu menaiki LRT daripada Pasar Seni ke KL Sentral. Kad touch n Go pula tidak cukup baki.) 

Saya memulakan pencarian. Alhamdulillah berhampiran dengan tempat saya tinggal ada 7 Eleven. Namun baki account saya pula tidak cukup untuk pengeluaran baki. Saya cuba menghubungi sahabat untuk meminjam sejumlah wang. Tapi sahabat tidak dapat dihubungi. 

Saya duduk di kaki lima. Takkala bersendiri hati saya berbisik. 
'Allah, jika niatku pada hari ini ikhlas menuntut ilmu keranamu. Membantu agamamu. Baik untuk Ummah, mohon ya Allah. Bantu Hamba.'
 Bisikkan halus yang menggetar jiwa. Tidak sedar air mata tumpah kerananya.
Tidak lama kemudian, sahabat saya menghubungi mengatakan bahawa dia telah bank-in sejumlah wang. Ketika itu saya terus kembali ke 7 eleven untuk pengeluaran. Tidak banyak. Namun cukup untuk saya ke tempat seminar.

Di luar 7 Eleven ada seorang pakcik. Kurus tubunhnya. Kotor badannya. Dia sedang tidur lena tanpa terganggu dengan bunyi gempita di ibu kota. Saya merasa simpati. Saya fikirkan, baru kali ini saya diuji namun sukarnya sudah terasa hebat. Apa lagi pakcik itu. Dan ramai lagi gelandangan di luar sana. Hari-hari mereka dihiasi keperitan hidup. Pada saya, mereka insan paling betah di kota raya yang penuh mewah. Sekali lagi air mata saya tumpah. 

Saya pergi ke gerai makanan berhampiran dan membeli sebungkus nasi goreng. Saya tinggalkan di sisi pak cik itu. ( Moga Allah menganugerahkan rezki atas mereka.) Saya meneruskan perjalanan. 

Ketika sedang bersaminar, saya telah ditempatkan di dalam group yang sama dengan pelajar UITM Syah Alam. Mereka datang bersama seorang pengiring. Masa rehat, kami rancak berbual. Saya juga ceritakan kesulitan semasa datang ke Kuala Lumpur. Sendiri. Tanpa wang. Sekadar datang dengan niat belajar. Tidak seperti wakil universiti lain. Mereka datang dengan rakan seuniversiti. (Masa ini cuti pertengahan semester, jadi tak ramai pelajar USIM yang dapat datang.) 

Setelah selesai seminar pada hari pertama, Pak Cik pengiring UITM Syah Alam telah menghulurkan satu tisu yang digulungkan. Didalamnya ada wang sebanyak lima puluh ringgit. Masya Allah. Pada ketika itu sekali lagi air mata tumpah.( Maaf la, saya memang mudah menagis orangnya.) Saya pulang bersama rezeki yang tidak disangka-sangka. (Semoga Allah menghadiahkan rezeki yang lebih baik padanya)

Keesokkan harinya, kami berseminar seperti biasa. Pada akhir seminar, kami disuruh menunggu. Rupanya seminar itu ada menyediakan elaun sebanyak seratus ringgit. Masya Allah. Betapa Allah itu maha Mendengar. Sekalipun hanya bisikan kalbu yang berbicara. Dia pastiMendengar lagi Maha Pemurah. Mintalah apa sahaja daripada Allah. Pasti Dia akan makbulkan. Jika tidak di dunia, di Akhirat, dan itu adalah sebaik-baik pembalasan. 

Doa Itu Tanda Pengharapan.

Allah berfirman di dalam Al-Quran 

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Dan Tuhanmu Berfirman; " Berdoalah padaku. Maka aku akan perkenankan."  
 Yakin pada Allah itu adalah kemestian. Itu adalah pemangkin kepada takwa dan iman. Dan keyakinan yang utuh itu adalah jaminan pertolongan Allah s.w.t. Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda;

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan, dan ketahuilah bahwa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai.” (HR. Tirmidzi no. 3479. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini hasan)


Sekalipun kamu pendosa, berdoalah kepada Allah. Mereka yang tidak mahu meminta kepada Allah adalah mereka yang sombong dan bakhil pada Tuhannya. 

Inginkan doa yang makbul?

Saya berbual dengan salah seorang sahabat saya. Dia bertanya, " Pernah dengar tak kisah Abu Hanifah pergi ke sebuah kota ni, kerana doa seorang pembuat roti?" Saya katakan tidak pernah.

" Cerita ini terkenal tau. Mustahil awak tak pernah dengar." 

Saya tergelak lalu menjawab." Cubalah awak ceritakan." 

Lalu sahabat saya mula bercerita. 

" Ada satu ketika, Abu Hanifah terasa ingin benar ke sebuah kota (Tak ingat la kota apa). Lalu dia pun menempuh perjalanan yang jauh untuk sampai kesana. Setibanya di sana, Abu Hanifah pergi ke sebuah masjid. Namun, penjaga masjid telah menghalau Abu Hanifah keluar. (Penduduk kota itu sangat kenal dengan nama Abu Hanifah. Namun mereka tidak pernah sama sekali melihatnya.) Lalu Abu Hanifah keluar daripada masjid dalam keadaan tidak tahu untuk pergi kemana. 
Di luar Masjid, ada seorang pembuat roti yang sedang berjulan. Maka dia telah melihat kelakuan Abu Hanifah yang layanknya seperti seorang yang kebingungan. Maka telah di sapanya lalu diajaknya bermalam dirumah. 
Takkala Abu Hanifah terjaga untuk solat malam, Dia telah melihat lelaki itu sedang membuat roti sambil mulutnya mengucap Istighfar. Tanpa henti. Lalu Abu Hanifah telah menyapa lelaki itu. Lelaki itu (yang tidak mengetahu bahawa itu Abu Hanifah) berkata. Sesungguhnya Allah tidak pernah tidak mengabulkan doaku. Melainkan hanya satu yang belum tertunai. Doaku adalah untuk bertemu dengan Abu Hanifah. Mak Abu hanifah berkata. Allah swt bukan sahaja telah memakbukan doamu, bahkan telah membenarkan Abu Hanifah menjadi tetamumu, bermalam di rumahmu dan berbual denganmu." 
1. Perbanyakkan Istighfar

Istighfar adalah salah satu daripada asbab diijabahnya doa. Saya pernah membaca. Jika tidak salah, Imam Syafiee yang mengungkapkan kata-kata ini. 

Dosa adalah penghalang daripada terangkatnya doa. Perbanyakkanlah Istighfar supaya doamu makbul. 
 2. Doa dengan menyebut namaNya

Firman Allah dalam Al-Quran:

وَلِلَّهِ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا
 " Dan Allah mempunyai nama-nama yang Indah (asma al Husna). Maka mohonlah kamu padaNya dengan (menyebut) nama-nama itu. ( Surah Al-A'Raf: 180)

( Ada kisah sebenarnya berkenaan dengan ini tap saya lupa. Nanti saya update bila saya ingat)

3. Solawat Atas Baginda Rasulullah s.a.w

Daripada Fadhalah bin ‘Ubaid RA berkata; Nabi SAW mendengar seseorang berdoa dalam solatnya dan tidak mengucapkan selawat kepada Nabi SAW, kemudian Nabi SAW bersabda: "Orang ini telah tergesa-gesa." Kemudian Baginda SAW memanggilnya dan berkata kepadanya atau kepada orang lain: "Apabila salah seorang di antara kamu bersolat, maka hendaklah dia memulai (doanya) dengan memuji Allah SWT, kemudian berselawat kepada Nabi SAW, kemudian berdoa setelah itu dengan doa yang dia kehendaki." Abu ‘Isa berkata; hadith ini adalah hasan sahih. (Hadith riwayat At-Tirmizi, No: 3477, Abu Dawud, No: 1481, an-Nasaie, No: 1284, Ahmad, No: 22811).
Ada satu ketika, saya lambat ke kelas. Saya dalam terburu terburu-buru dan mengeluh terlupa tempat saya meletakkan tudung. Guru yang mengajar pula orangnya agak tegas dengan ketepatan waktu. Sahabat menegur saya.

" Ain. Tenang dulu. Banyakkan salawat." 
" Tak boleh kak. Saya dah lambat dangat dah ni. huhu." Sahabat saya mengulangi sehingga suaranya kedengaran agak kasar. Saya berhenti mengemas barangan.
" Ain. Salawat." Terasa sedikit tenang walaupun pada hakikatnya masih disapa kebimbangan. 
Setibanya di kampus, salawat saya masih berlagu. Hati berdoa semoga guru belum masuk ke kelas. Di kelas, benar-benar guru belum lagi tiba dan saya terselamat. 

Sahabat saya yang lainnya pernah berkata. Salawat adalah kunci doa. Jika ingin doa ijabah, solawatlah.

4. Doa yang baik dan tidak memutuskan Silaturahim

Daripada Sa'id r.a Rasulullah s.a.w bersabda;



ما مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلاَ قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلاَّ أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلاَثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِى الآخِرَةِ وَإِمَّا أَنُْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا ». قَالُوا إِذاً نُكْثِرُ. قَالَ « اللَّهُ أَكْثَرُ


“Tidaklah seorang muslim memanjatkan do’a pada Allah selama tidak mengandung dosa dan memutuskan silaturahmi (antar kerabat, pen) melainkan Allah akan beri padanya tiga hal: [1] Allah akan segera mengabulkan do’anya, [2] Allah akan menyimpannya baginya di akhirat kelak, dan [3] Allah akan menghindarkan darinya kejelekan yang semisal.” Para sahabat lantas mengatakan, “Kalau begitu kami akan memperbanyak berdo’a.” Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam lantas berkata, “Allah nanti yang memperbanyak mengabulkan do’a-do’a kalian.” (HR. Ahmad 3/18. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahwa sanadnya jayyid).
5. Berdoa dengan Doa Nabi Terdahulu

Barakah daripada Nabi terdahulu bersama dengan Doa mereka. Ciptalah doa sebaik mana sekalipun, tidak akan pernah menyamai doa yang dirakamkan Allah di dalam Al-Quran dan semestinya daripada Nabi dan Rasul terdahulu.

Akhir Kalami 

Doa adalah bukti cinta Allah terhadap hambaNya. Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman di dalam Al- Quran:


وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا 
لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (QS. Al Baqarah: 186)

"Buat sahabat yang disebutkan, Semoga Allah s.w.t memberkati ilmu kalian dan memudahkan urusan kalian." -Penulis-